Sunday, 26 May 2013

Manfaatkan Cuti Sekolah



Bertemu kembali! Selamat meneruskan cuti persekolahan. Jangan lupa masukkan aktiviti belajar sebagai salah satu pengisian cuti. Kali ini, dikongsikan tip memanfaatkan masa semasa cuti sekolah.

1. Bijak menggunakan internet.
Elakkan diri daripada menghabiskan masa yang lama dengan melayari internet. Khususnya melayari laman-laman sosial seperti facebook, twitter dan youtube. Kecuali menggunakannya bagi tujuan pembelajaran.
Contohnya ;
  • Melayari portal-portal pendidikan online yang berkaitan dengan mata pelajaran.
  • Memanfaatkan e-mel dan laman sosial bagi bertukar-tukar ilmu dan pengalaman bersama rakan-rakan dan guru-guru.
  • Melayari laman-laman yang boleh meningkatkan pengetahuan am 

2. Ulang kaji secara berkumpulan.
Selain mengulang kaji sendirian di rumah, boleh melakukannya secara berkumpulan. Dengan cara ini dapat bertukar-tukar idea dengan rakan lain khususnya daripada rakan-rakan yang mahir bagi sesuatu mata pelajaran. Secara tidak langsung, ulang kaji berkumpulan juga dapat mengurangkan rasa bosan atau mengantuk.

3. Berkunjung ke Perpustakaan Awam.
Salah satu tempat yang boleh dikunjungi dengan lebih kerap berbanding hari-hari persekolahan biasa adalah perpustakaan awam. Kita boleh mengulang kaji pelajaran di sini dan membuat rujukan. Banyak bahan rujukan yang boleh diperolehi sama ada dalam bentuk buku atau dalam talian (internet). Jika kurang mahir menggunakan perkhidmatan yang disediakan di sini, dapatkan bantuan daripada pustakawan yang bertugas.

4. Mengikuti kelas tuisyen.
Bagi meningkatkan penguasaan terhadap mata pelajaran yang dipelajari di sekolah, bolehlah mengikuti kelas tuisyen khususnya bagi mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan UPSR.

5. Menyertai kem-kem motivasi.
Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu bersemangat untuk belajar ialah memiliki motivasi diri yang tinggi. Oleh itu, anda boleh menyertai kem-kem motivasi yang lazimnya banyak diadakan pada waktu cuti persekolahan bagi meningkatkan motivasi diri. Membaca buku-buku teknik juga belajar berkesan. Menerusi buku-buku ini, anda akan memperoleh tip-tip dan panduan bagi membolehkan anda belajar dengan berkesan, mudah faham dan mudah ingat isi pelajaran yang dipelajari. 

Semoga tip-tip yang dikongsi ini bermanfaat bagi mengisi waktu cuti sekolah pada kali ini. Selamat bercuti!

No comments:

Post a Comment